Halaman

Luruh

Tabir Khaizuran 16.12 |




i

Angin menjarum
daun berlari-lari
bersama debu

ii

di bangku kayu
masih setia teruna
menanti kasih

iii

dedaun kering
meliuk di udara
mengulit hati

iv

musim berganti
masih setia teruna
menanti cinta

v


dedebu terbang
daun kering melayang
hatinya luruh

vi


sebutir salji
ditiup desah angin
hinggap di tangan


Read More

Tanpa sengaja kucipta

Tabir Khaizuran 07.11 |

malam
di lereng bukit
kuterdengar bintang berceritera
tentang klasiknya sebuah cinta

seraya aku memetik gitar
melirikkan lelagu kasih
tanpa sengaja kucipta
saat wajahnya di tubir mata

angin pun bersatu
bersama alunan rindu
di udara menari-nari
lalu hatiku turut bernyanyi...
Read More

Masih kau alpa

Tabir Khaizuran 13.10 |

Kaulukis angan-angan

pada setiap kepulan

kelabu yang terderu

dari nafas terhela sayu

dan seketika angan-anganmu

lupus ditimbus angin.


kaupuisikan pula keluh

dari kepahitan sedutan

yang kaukira nikmat

namun tanpa sedar

kautolak Ya Rahmat.


Kau masih lagi

menarikan hati

waima

bibirmu tidak merah lagi-hitam,

matamu tidak putih lagi-kuning,

tubuhmu tidak berisi lagi-kurus mering.


Tidak kau endah

senandung pilu isterimu

tentang zuriat yang tiada sempat

melihat dunia.


Masih kau alpa...


p/s: merokok mendatang pelbagai musibah..katakan tidak pada rokok!

Read More

Detik asyik

Tabir Khaizuran 13.08 |

Bintang terkesip-kesip di pinggir langit

tatkala bunga api beraksi di lantai awan

sejenak aku mendongak

menikmati keindahan.

Sentuhan dingin malam di pipi

masih tidak terlawan akan

hangatnya takoyaki

susila menyapa indera rasa

bersama enak yang menerpa.

Riang kelopak-kelopak sakura

menari-nari di udara bagai salji halus

bebas terawang-awang

sekelopak sakura mencumbu

lembut telapak tangan mulusku.

Sejeda aku nikmati ketenangan

dan masa pun bagai mengerti, terhenti

detik asyik menguwet kapal sepi

ke laut Yokohama.

Read More

Menuju Istana di Pelangi

Tabir Khaizuran 17.32 |


Berita Minggu, 18 Okt 2009

Tiada kata terungkap, hanya pejaman mata beserta linangan air mata kesyukuran. Semoga ini menjadi sebuah titik tolak supaya saya berusaha lebih lagi. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan. Terima kasih Berita Minggu..
Read More

Misi belum berakhir

Tabir Khaizuran 17.22 |



Ahmad, Ah Meng dan Siva
bersatu hati serta jiwa
melangkah ria
menerokai denai bahasa
dengan tangan tergenggam kemas
buah-buah perpaduan
dipetik tadi di pohon kemakmuran

Ahmad, Ah Meng dan Siva
melepas lelah di tebing sungai pertiwi
di mana anak desa sibuk mencari rezeki
tanpa hirau arus deras teknologi
terus mengalir tanpa henti
menghayutkan kolek yang rapuh
melemaskan mereka yang lalai
Ahmad, Ah Meng dan Siva
menebar pandangan menangkap pedoman.


Perjalanan diteruskan lagi
kerana belum berakhirnya misi
untuk berkongsi kemanisan dari buah perpaduan
untuk berkongsi cerita keindahan
keindahan menerokai denai bahasa
yang pasti menggamit jiwa bangsa.

Read More

Lagu Puisi Tentang Hati

Tabir Khaizuran 16.47 |

Dengarlah
lagu ini
lagu puisi tentang hati
kumelodikan istimewa buatmu
kasih...

Kusisipkan sebuah negeri
di tumit langit berwarna pelangi
dan bintang menghiasi
malam hari
tanpa hadirku

Kasih...masihkah
meniti titian janji
yang kubina dengan tali-
cinta sejati tersimpul mati
dihatiku ke hatimu

chorus
(oh... oh... oh...)


Kasih
usahlah diragui
kebun naluri ini
tiada berduri

Langkahlah dengan rela
kukan sambut bersama
segunung setia...
Read More

Resah II

Tabir Khaizuran 19.00 |

Jiwa melayang

dibawa taufan Melur

tiada henti.

Read More

Resah

Tabir Khaizuran 18.59 |

hati membeku
dek hujan lebat malam
mengurung aku
Read More

Lompat Si Katak Lompat

Tabir Khaizuran 18.58 |

Lompat Si Katak lompat
lompat
janganlah tinggi-tinggi
takut patah gigi
patah kaki lagi ngeri

Lompat Si Katak lompat
lompat
jangan nak cepat-cepat
takut tak sempat mendarat
patah pula tulang belikat

Lompat Si Katak lompat
lompat
lompat berhati-hati
takut tersalah lompat
jatuh ke dalam perigi

Lompat Si Katak lompat
lompat
berhenti bila penat
jangan bercakap besar
takut nanti ditelan ular

Lompat Si Katak lompat
lompat
bila nak berhenti melompat?
tak habis-habis melompat
sudahlah Katak,pergilah bertaubat...
Read More

Hikayat Si Sakai dan Kerubung Sakti

Tabir Khaizuran 18.57 |

Menurut sahibul hikayat
Datang dari syahru’n-Nawi
Sasaran bahasa gerangannya
Menceritera tentang Si Sakai dan kerubung sakti.

Ini makhfi
Tentang kerubung sakti
Ditetak beliung
Merekah tak terbelah
Disaksi sakai saudagar besar.

Kerubung sakti
Padi emas adalah inti
Sekonyong-konyong
Si sakai menjadi kaya raya
Lalu hati tidak lagi berpijak pada bumi.

Banyak derham digunanya
Bina rumah bermanjungan bertiang gantung
Pada sehari-hari bermukah dan bermain
Setiap pekan bertemasya
Alpa sudah kehebatan Yang Esa.

Si sakai
Allazi murakkabun ala jahlihi
Datang sudah suratan ajalnya kini
Sewaktu asyik di papan cuki
Dipanah petir lalu hilang bersama kerubung sakti.

Read More

Komputer Peribadi

Tabir Khaizuran 18.55 |

Kepalaku bagai papan kekunci
ditekan-tekan agar siar
aksara cinta
pada monitor hati.

Emosiku bagai tetikus
yang dimainkan tangan kudus
agar cursor perasaan
mengikut lurus.

Cakera keras
yang sarat memori lepas
selalu dihempas
angkara hidupku selalu "Not responding"

Aku bukan komputer riba murahan
yang dijual apek di Low Yatt
aku komputer peribadi
yang ingin selalu disayangi.
Read More

Masih mengharap

Tabir Khaizuran 16.06 |

Aku mengharap
pada betik jantan berputik
setiap musim dengan tetap
agar sebiji dua berbuah
dengan ranum serta harum
manisnya pada dada angin.

Aku masih mengharap
pada jejarum merah
setiap lepas gerimis
agar mekar seperti mawar
wangi dan berseri
menawan rawan hati.

Masih lagi aku mengharap
pada sinar mentari pagi
pada langit merah cerah
agar esok ada kesempatan
melihat benih perasaan ini
memucuk di batas waktu.

Mengharap
aku masih mengharap
Andai salah aku mengharap
harus ke mana aku mengadap...

UPM Serdang 2200 100809
Tabir Khaizuran
:kiblat
Read More

Sepetang di Pinggir Kali

Tabir Khaizuran 22.35 |

Sepetang di pinggir kali
liuk ikan sepat sesekali bermelodi
membisik damai pada desir angin
dan riak air mulai menari-nari
membuai hati yang dicuri
oleh seri langit biru nilakandi

Sepetang di pinggir kali
di bawah pohon asam
merendang bayang-bayang hijau
pada redupnya naluri nan sepi
yang terlukis pada wajah Si gadis
di permukaan kali.

Sepetang di pinggir kali
di tepi sawah bendang terbentang
kuning emas gebu-gebu padi
beralun-alun menikmati semilir
angin yang mencumbu dingin
dan bangau putih menapak pergi
dengan senyum sejambak erti
setelah riang temboloknya penuh terisi.

Si gadis sedia menginjak kaki
bilamana malam sedang mengusir petang
lengkung senja sekadar memerhati
lara pada derap-derap kaki Si gadis
yang memateri janji
pada petang di pinggir kali
"Esok kita ketemu lagi di sini"

Read More

Sunting Bunga Rindu(Sempena Majlis Pertunangan Ayu)

Tabir Khaizuran 03.49 |

Di pasu hati, harum mekarnya bunga-bunga rindu
disuburi baja iman, akhlak dan ilmu
disirami sinar cinta seumur hidup perindu.

Di laman kasih kumbang bertamu
Seiring luhur tepak sirih dihulur
Sesantun irama serangkap pantun
Sekilau jauhari bercahaya di pagar kesuma.

Rumah janji teguh berdiri
Masjid harapan didiri di sisi
Read More

Final Exam

Tabir Khaizuran 03.48 |

Final exam

hadir menjadi mimpi ngeri

asbab mindaku terkunci

Aku gelabah, aku gementar

final exam menapak rapat tanpaku sedar

Aku kaku, aku tepu

sendiri di ruang kalbuku.

Kerana kau final exam..

Aku menyelongkar isi buku

Namun aku masih buntu

menghafal segala rumus dan teori

mengundang resah di kamar hati

lewat sedarku tersembam di lantai alpa.

Final exam

berdiri setapak di depan

menanti aku dengan senyuman

senyuman yang menerbitkan sinar tertekan

pada otak aku yang sedang bergetaran.

Final exam

Membuat aku derita Diarrhea

Amnesia

Examophobia

Arghhhh, Aku tension!

Read More

Pesanan Buat Sahabat

Tabir Khaizuran 03.48 |

Sahabatku
jangan pernah kau lelah
menghayun tangan mendayung sampan harapanmu
menuju pelabuhan cita-cita yang kau uar-uar kemegahannya
walau lambung dilambung gelombang derita dan sengsara.

Sahabatku
jangan sesekali kau berhenti
setelah perjalanan kau tempuh sejauh ini:
muara, teluk, tanjung kau rentasi
dan, aku masih setia menemanimu di sisi.

Aku pendayung yang kau pegang erat
jangan leka kerana ingin lekas hingga lepas
hayunlah aku sepenuh kudrat
aku tahu kau tak kenal erti penat
namun, sesaat dua tariklah nafas kerana kau perlu berehat.

Sahabatku
tengkujuh menimpa usah dikira
panah terik usah ditepis, hanya
doa
pengembaraan ini selamat ke destinasinya.

Read More

Sebuah Epik Gua Fikiran

Tabir Khaizuran 03.45 |

Berapa lama terperangkap
dalam gua fikiran yang kelam
kerana hujan gelisah tidak pernah berhenti
oleh kerana terlalu bosan dan
lelah mencongak erti
aku mencapai batu hitam serpihan
dari batu besar yang terhakis
dan dinding gua fikiran
menjadi mangsa lontaran akalku.

Tidak pernahku sangkakan dari lontaran
rambang itu terbuka pintu
di mana cahaya berpusu-pusu
berhimpit-himpitan masuk meluru
dan berakhirlah sebuah epik
yang diukir aksara-aksaranya oleh aku
yang dikorek dari selut ilmu
yang selama ini adalah rahsia kalamku
kini bukan lagi rahsia.

Dalam pada itu
aku masih terperangkap
di gua fikiran yang kelam
berteleku pada hari-hari yang menyapa
dan gema-gema menjadi halwa telinga
meracik jiwaku yang ingin merdeka
dari kesengsaraan alam fana.

Akukah penyair muda, entah
dari mana lahirnya tetiba mencelik mata
menyelusur gua fikiran
hingga sesat
hingga terkulai, namun
masih menjana kudrat mencapai batu
mengukir aksara pada dinding gua
fikiran sebuah epik
untuk diterjemah pada masa hadapan.
Suatu yang aku pasti sebelum keluar dari sini
kemaskan sawang-sawang yang mengacau-
bilau perasaan.

:"Sebuah epik gua fikiran
kini menjadi sebuah kajian
pada mereka yang punya keistimewaan
menterjemah setiap aksara-aksara
bagai kopi yang pahit ditelan
bagai duri yang tajam dikunyah
bagai batu yang keras dihadam"

Read More