Halaman

Gema Tahrir

Tabir Khaizuran 01.06 |












Gema ini
telah kusalut amarah bangsa
dibawa angin bernama revolusi:
warna yang tiada dan hangatnya berbisa.
Biar berdarah, biar bernanah,
biar berkeruping telinga pendusta.


Dengar-dengarkan wahai dunia!
Kala kaulena dialas bantal aman
di gua ini, gema tak akan berhenti
sekali-kali tidak!
selagi kelawar-kelawar bermuka dua
mencakar dinding maruah agamaku.


Dunia
Sekiranya engkau punyai sepasang kaki benar
sahutlah gema ini dengan garau!
sekiranya engkau punyai sekeping hati murni
sahutlah gema ini dengan berani!

Andai kautahu gema ini-
Gema Tahrir
sahutlah!


163016022011
Tabir Khaizuran
DCA Subang


Read More

Menanti Kekasihku - Bidadari

Tabir Khaizuran 00.06 |

Sehalus angin engkau terus melayang terbang
katamu "dinda ingin menggentis bintang"-

aku
diam di sini menanti
wajah indah teranyam di sanubari kembali.

... Semusim kian berganti

dingin dinihari menemani diri
kutatap bulan dirangkul awan
bayangmu bertamu dalam khayalan
sekali ini hatiku diusung rindu:

saat kita mendaki pelangi
bersilir bicaramu di telinga
"telah kusulam nama kanda di dada"
jiwaku berbunga bahagia seluruh, lalu
pada hujung keningmu kukucup lembut
"semoga sulaman itu kekal selamanya"

Kekasihku, hanya kerana kau bidadari
hingga nafas terakhir kuakan menanti!

Read More