Halaman

Sebuah Epik Gua Fikiran

Tabir Khaizuran 03.45 |

Berapa lama terperangkap
dalam gua fikiran yang kelam
kerana hujan gelisah tidak pernah berhenti
oleh kerana terlalu bosan dan
lelah mencongak erti
aku mencapai batu hitam serpihan
dari batu besar yang terhakis
dan dinding gua fikiran
menjadi mangsa lontaran akalku.

Tidak pernahku sangkakan dari lontaran
rambang itu terbuka pintu
di mana cahaya berpusu-pusu
berhimpit-himpitan masuk meluru
dan berakhirlah sebuah epik
yang diukir aksara-aksaranya oleh aku
yang dikorek dari selut ilmu
yang selama ini adalah rahsia kalamku
kini bukan lagi rahsia.

Dalam pada itu
aku masih terperangkap
di gua fikiran yang kelam
berteleku pada hari-hari yang menyapa
dan gema-gema menjadi halwa telinga
meracik jiwaku yang ingin merdeka
dari kesengsaraan alam fana.

Akukah penyair muda, entah
dari mana lahirnya tetiba mencelik mata
menyelusur gua fikiran
hingga sesat
hingga terkulai, namun
masih menjana kudrat mencapai batu
mengukir aksara pada dinding gua
fikiran sebuah epik
untuk diterjemah pada masa hadapan.
Suatu yang aku pasti sebelum keluar dari sini
kemaskan sawang-sawang yang mengacau-
bilau perasaan.

:"Sebuah epik gua fikiran
kini menjadi sebuah kajian
pada mereka yang punya keistimewaan
menterjemah setiap aksara-aksara
bagai kopi yang pahit ditelan
bagai duri yang tajam dikunyah
bagai batu yang keras dihadam"

0 komentar:

Posting Komentar