Halaman

Kelmarin ajar aku

Tabir Khaizuran 05.40 |

Kelmarin ajar aku
lerai rantai gusar
yakinkan diri ini
orak langkah bererti
kunci matlamat tuju.

Berpaling pada kelmarin
pugar aku sedar
berani harus tegar
lengah harus tegah
usaha harus berkuat.

Kaki bukan perdu
langkahkan ia padu
senyap dan bisu
kelmarin ajar aku.
Read More

Cinta ini sebuah kisah di mana rindu itu tiada penghujungnya

Tabir Khaizuran 11.37 |

Mungkinkah di hujung rindu ada nokhtah
kala pertengahan ada aku
seawal kau berbicara waktu
menyeru
cinta ini sebuah kisah.

Bening dinihari menyimpul hati
kita dua menyiul rasa
seiring menerusi jalan cerita
cinta ini sebuah kisah.

Tiada tercari jawapan di kalbu
belum hujung rindu kita temu
sekalipun kita cuba wacana
masih gagal mukadimah dikemuka
akur kita
cinta ini sebuah kisah
penghujungnya ketentuan Allah Maha Esa.


03062010 0200am
Tabir Khaizuran
USM Nibong Tebal
~Mungkinkah~
dedicate to Baby..kucing kesygnku..
Read More

Biar hati ini menulis

Tabir Khaizuran 02.28 |

Sejak peristiwa konvoi bantuan ke Gaza diserang. Bertubi-tubi telefon saya diterjah oleh sms-sms sahabat agar dipanjangkan kepada sahabat lain dan panjatkan doa kepada mangsa. Alhamdulillah, keberanian mereka untuk ke sana adalah satu contoh yang baik. Secara tak langsung juga, memperlihatkan muka sebenar Israel di balik topeng yang dipakainya.


Biar hati ini menulis

Kian lama meredam
sakit mulai membukit
nanah.

Rasa ini terperam
saban siang saban malam
benci.

Tangis tak pernah diam
membisik hati tuk menulis
dendam
biar terbaca matamu
sampai akhirnya terpejam.


02062010 1700
USM Nibong tebal.
p/s boikot israel!!

Read More

Gerimis Hati (buat Mak)

Tabir Khaizuran 00.48 |




Mak

tidak kupunya rima berirama mahupun diksi

apatah lagi metafora dan personifikasi

gagal kusulami jadi serangkai puisi, Mak

izinkan sekali ini

kutulis tangis pada gerimis hati

maaf Mak, noktahnya tiada

kerana piluku di akhir titis-titis.


Sekali lagi benarkan kulukis

sekali ini

kenangan manis pada gerimis hati

Mak,

tidak sempurna rasanya

andai gerimis hati ini tidak diwarnai

ini pelangi kasih sebagai pelengkapnya,

"kan itu warna kesukaanmu, jua kesukaanku?"

"iya kan, Mak?"


Mak

Kuharap ini bukan terakhir kali

muncul Mak di ruang impi

kerana saat ini senduku telah lelah

maka akan kubiarkan angin masa

menerbangkan gerimis hati ini pergi

dengan iringan Al-Fatihah...


14052010

Tabir Khaizuran

Gombak, Selangor.

~Kurindu wajahmu...Mak~~

Read More

Gelas Ilham dan Air Puisi

Tabir Khaizuran 02.07 |

Gelas ilhamku kosong
sedikit terhias pintalan aksara
solo di atas meja studi
tergerak aku ingin eksploitasi.

Aku isikan air puisi
jernih, dingin dan suci
masih kosong
tidak puas untuk dinikmati.

Aku tambahkan gula bahasa
sedikit tidak lebih
manis-manis buah kata orang tua
masih
masih belum boleh dinikmati.

Aku sabar
membancuh perisa pengajaran
sekali, dua kali, tiga kali.
Baik, sudah siap untuk adik.
Read More

Bidik Sepi

Tabir Khaizuran 01.54 |

Saat rintik hujan menyinggah daun

bagai suara seruling beralun

segemersik angin membisik:

"mendung, kuinginkan pelangi

perungkai bidik-bidik sepi

seusai renyai terhenti..."

Read More

Eksperimentasi Nusa

Tabir Khaizuran 22.57 |

Sebuah erti di celah diksi
kita masih tercari-cari
di terbalikkan dunia.

Belit-belit lidah
kata-kata indah
kita tertipu
di hadapan cermin mewah.

Eksperimentasi nusa
negatif saja terjelma di minda
sejuta sebab kita alas
karat-karat penyakit M.A.L.A.S.

Terjemahlah sengsara
jadi penebat yang hebat
walau berdekad walau berabad
Malaysia di bibir jagat.
Read More