Halaman

Titik-titik merah Karbala

Tabir Khaizuran 21.01 |

:Titik-titik merah
meresapi seluruh bumi Karbala
pada hari penuh nostalgia
10 Muharam 61 Hijrah.

Husin
air mata ini bukan kupaksa
bukan jua cereka sengaja
tanpa silu ia mencurah-curah
walau kuseka masih jua tercurah.

Bagaimana tidak aku
meratap pilu sebuah pemergian
cucunda kekasih Allah
tiap kali hari ini tiba
tiap kali namamu di kesuma.

Husin
terbayang-bayang saat dirimu
menyahut seruan Allah
sakit, perit
jerih, pedih
namun masih tegak kau berdiri
bersama tauhid dan cinta hakiki.

Kesyahidanmu adalah uswah hasanah
Semoga dikau bahagia di sisi Allah...
Read More

Mengejar Hari

Tabir Khaizuran 00.40 |

Hari menapak pergi
derap-derap tapaknya
tidak kudengari
kerana asyiknya aku menyaksi mimpi.

Kala kuterjaga sudah terlewat
kelibat hari jauh sekali
sekalipun berlari mengejar hari
hanya penyesalan menghambat.

Hari yang berlalu pasti
tidak kan kembali lagi.


.
Read More

Teritip Swasraya

Tabir Khaizuran 16.11 |

Teritip swasraya
menggenggam makna pada wasilah jiwa
sampai masa fajar siddiq wajahnya tampak
dan tiong menyiul-nyiul lagu damai
seiring deruderu ombak
menyapa telus pantai.

Diamnya di situ menikmati
kilauan permata menusuk permukaan
samudera nyaman
membiarkan rahsia alam terus tersimpan.
Read More

Suatu permulaan

Tabir Khaizuran 11.17 |



hari ini kumulakan hijrah

setelah semalam tidak lagi cerah

hanya langit merah

dan sedikit pancaran suria memecah

jingga yang kusangkakan indah.


perlahan aku melangkah

melangkaui jalur hitam sejarah

mencari antidot luka bernanah

pada seluruh pelusuk daerah

masih...

masih lagi aku hampa tak sudah.


sesekali bayu yang berpuput

mendinginkan peluh yang mencurah

lalu aku terduduk

lembab-lembab mengangguk

mengakui sejarah adalah sejarah.

Read More

Rintik-rintik asmara

Tabir Khaizuran 01.13 |

Rintik-rintik asmara menjamah mesra

pada seraut wajah nan hiba

dalam keterpaksaan mempamer senyum

dan lemah longlai tangan melambai.


Si gadis menyeru dalam lebat tangisnya

"Tinggalkan saja aku dengan luka yang kau tarah!"

Si teruna tidak berpaling lagi

Melambung langkah bersama noda sejarah.


....dan sekaki payung tidak lagi bermakna

tatkala terlepas dari genggaman

terbiar ia basah di jalanan

terus hanyut dibawa deras arus banjir airmata.

Read More

Wahai perawan

Tabir Khaizuran 04.35 |

Wahai perawan yang menawan
kesuma hati sedang membuai rindu
sambil menyanyi-nyanyi lagu
di laman asmaraku.

Wahai perawan engkaulah pujaan
jiwa yang sering terpanah
oleh manis-manisnya senyuman
di fikiran mengundang gundah.

Aku melutut merayu
marilah duduk di sampingku
bersama-sama kita berdua
mengikat janji setia.

Dan esok hari kan kubawa pergi
berlari-lari menuju ke syurgawi
agar kasih ini akan abadi.

Tabir Khaizuran
UPM Serdang
Read More

Peristiwa dalam bas

Tabir Khaizuran 20.36 |

Di dalam perut bas
aku rimas, aku lemas
di tiang, tangan tergenggam kemas
menahan terus menahan
tekanan demi tekanan.

Lembut-lembut pinggul montel
di pehaku menggesel-gesel

Ahhhh...
Tidak! Kenapa harus tegak?
Kenapa tidak kuelak?

Daku punya nipis iman
akan tetapi aku masih siuman

tak akan dibiarkan nafsu ditawan

sayu bujuk-bujukan syaitan.

"Maaf cik, cik tak sengaja kan?"

Kau campak malu lalu tersipu
sedikit beranjak dari tubuhku
aku tunduk memaku bisu
pada lantai bas bertona biru.
Read More