Halaman

Menanti seri suria pagi

Tabir Khaizuran 07.23 | ,

Rintik-rintik hujan bertamu lagi
di atap zink bersemi melodi
titis menitis satu-satu dari liang kecil
lalu membulat hitam di lantai papan.
Bunyi televisyen mati siaran
dan desir-desir dedaunan
menemani lelaki tua memeluk kesedihan.

Tadi, indah malamnya dinoda
dek khabar dari kota:
bintang-bintang berguguran di pertengahan jalan
destinasi desanya tidak tertuju.
Diberita oleh purnama berbadan dua.

Sementelah hujan berhenti
purnama menyuluh luka hati
si lelaki tua
yang mengharap pedihnya sembuh
pada usap lembut dingin angin cuma
sementara
menanti seri suria pagi
mencambah benih harapan di dada.

20102010 2010
Tabir Khaizuran
Bangi
Read More

Diari untuk Zigot

Tabir Khaizuran 02.25 | ,

I
Air nikmat itu menghanyutkan aku ke sini
sebuah daerah asing bergelar Fallopio
pada musim subur fasa III
melayar memori destinasi terakhir
muara rahim.

II
Aku bukan perisik pun bukan komando
walhal
aku punya visi tetap ngeri
dinding tebal wajib di tembusi
secara klasik nan indah , bertemankan
Beethoven beralun-alun
naluri jadi berani menyingkir mati.

III
Pertarungan sengit tak berdarah
pelumbaan maha hebat palit sejarah
tak terencat kudrat kuperah
biarpun ekor dan kepala terpisah
takhta juara kujulang megah.

IV
Wahai ovum, sayangku, kita bertemu
bersatu dengan restu
demi dia-
sebuah kelahiran: Zigot.

151010
Tabir Khaizuran
Bangi
Read More

Kembali

Tabir Khaizuran 20.42 | ,





Berbakikah langkah
sedang gerbang akhir zaman ternganga
terlihat pepohon fitnah subur
pada bibir-bibir mewah pendusta.

Buah fikir terus membusuk lesu
dek akar akal mati dibelenggu nafsu
dahan-dahan iman olak-alik hukum-hukum Tuhan
sepoi-sepoi bisikan syaitan.

Mata hati terkekeh-kekeh bangga
melihat perspektif mercu-mercu mencecah langit
malang
sungguh kisah kaum Ad tidak berpusar di minda.

Kembalilah
hitung langkah-langkah semalam yang terpalit najis dosa
hitung tabung amal sejak berkumandang azan di telinga
sehingga iqamat dan solat empat takbir.
Nyawa ditangguh usah dipersia
Kembalilah.


051010 1130
Tabir Khaizuran
Bandar Tasik Selatan


Read More

KAMU, Aku CiNTa!

Tabir Khaizuran 00.43 | , ,

Kepada:
Ana
Miss
U.

Aku adalah hati kepingin terbang
ke daerah bergelar Kekasih
untuk kuutuskan puisi "KAMU, Aku CiNTa!"

Cintamu adalah sayap hati berkilau-kilau
ilusi rindu.
Nan mengibas-ngibas resah.
Terbangkan
aku!

26092010 1530
Tabir Khaizuran
Bangi, Selangor


Read More

Penjara kalbu

Tabir Khaizuran 07.06 |

Entah macam mana tetiba terlintas kat hati aku ni. Pelbagai perkara yang menyebabkan kita sering bermusuhan sesama insan. Sama ada seagama ataupun tidak seagama. Ah, aku lebih utamakan yang seagama. Kalau ikutkan, kebanyakannya kerana sebangsa. Walau apa pun bila banduan-banduan ni terlepas dari penjaranya. Maka akan huru hara la bangsa, agama malah negara hatta dunia sekalipun pasti menjadi porak peranda. Hanya disebabkan banduan-banduan ini dibiarkan terlepas bebas sewenang-wenangnya dari penjara kalbu masing-masing.

Aku percaya kalau setiap orang berjaya menawan dan membiarkan mereka ini terus terpenjara pasti akan amanlah seantero dunia.


Di penjara kalbu
Tabir Khaizuran


Di penjara kalbu banduan-banduan menanti untuk dilepaskan.

Sang cemburu:
pantang melihat kesenangan orang lain terus mengisi peluru nista.
Membidik tanpa rasa berdosa.
Akta imanku memberkasnya sebelum bidikan disasarkan.

Si hasad dengki:
menikam pisau caci setiap orang yang dikurnia rezeki.
Menikam seperti tidak kenal neraka.
Akta imanku menahannya sebelum tikaman dilakukan.

Ah, ini semua keturunan nafsu.
Kekallah di dalam penjara kalbu.
Nescaya andai terlepas akan aniaya saudara seagama dan sebangsaku.
Read More

Impianku Istana Pasir

Tabir Khaizuran 02.25 |

Yang ini versi edit...ada beberapa penambahan dan pengguguran kata. Setakat ini saja. Mungkin di lain masa kalau ada terlintas di hati mungkin akan diusik lagi.



Masih segar di ingatan, terakhir kali
di bibir pantai kita berlari
membiar pipi dicumbui nipis bayu
dan pesona sore menggamit sanubari
memperhebat cinta pada hati.

Setelah lelah
kita bersama membina
sebuah impian: istana pasir
walaupun acapkali ia rebah
kita gabung sabar laksanakan cita.

Seusai siap
kita menikmati panorama mega jingga
seraya membingkiskan serangkap doa
"Istana pasir janganlah roboh dihempas badai dan ombak.
Teguhlah sekukuh Statue of Liberty."

Namun,
hari ini apa yang tinggal
remis-remis berteritip bertakhta lumut
penghias di dinding istana,
kubu janji terjelabak dihanyut ombak
dan impian
bagai buih putih lipur ditiup bayu.
Read More

Ejan

Tabir Khaizuran 12.02 |



Memegang jemala, terjerongkok
bagai tukang sortir
menyaring terbaik untuk esok
foto-foto gadis, empat
dibiarkan tersusun rapat.

Foto 1:
Purdahnya mukadimah cerita
redup mata ranum jiwa
mushaf sentiasa melekat di dada
akhlak empunya bikin bonda jatuh cinta.

Foto 2:
Rambutnya, alahai mayang mengurai
tubuh langsing laksana Ashwarya Rai
putih kapas mulus kulitnya
seulas bibir merekah merah delima
mata menggoda menyesah raga.

Foto 3:
Seorang keturunan kerabat diraja
wajah bersihnya memperlihatkan segala
manis mendera bila berbahasa
mencairkan iman pendengar suara.

Foto 4:
Diri seluruh dilitupi barang berjenama
bersama kereta Ferrari bergaya ala model
seksi cukup membuat mata terjegil.
Ah, ini cintanya pada harta!

Berdiri aku bertanya pada cermin
padanan foto manakah aku?
Terdetik untuk merogoh saku
hanya ada sekeping not biru.

040910 1300
Tabir Khaizuran
Jengka, Pahang.
p/s:cari-cari calon isteri
Read More

Memori Kapal Kertas

Tabir Khaizuran 21.43 |

















Sehabis titis hujan terakhir
kita pantas berlari keluar dari pondok
bersama kapal kertas di tangan
parit besar itu kita tuju
nasihat orang tua kita abaikan
kerana
kita percaya saat ini adalah memori untuk esok.

Nyata airnya deras sekali lepas hujan
persis tercermin di minda
kapal kertas kita lepaskan, perlahan
ia beroleng-oleng, bersaing
kadang kapal kertasmu menghimpit kapal kertasku
kita teriak riang sambil mengekori arus
tangan kita tergenggam
kemas seperti janji terantai di hati.


Kita sama berharap
kapal kertas tak tenggelam
sebelum menuju pelangi petang.

Tabir Khaizuran
Jengka, Pahang.
Read More

Penulis jalanan di bawah pohon semarak api.

Tabir Khaizuran 21.31 |









Penulis jalanan
di bawah pohon semarak api.
:Tribute kepada seorang sahabat
bernama guru.

Jari telunjukku menjadi pena tanpa tinta
untukku nukilkan isi hati pada air
biar maknanya terus mengalir
mengikut riak-riak menghilang
ke tebing ke seberang.

Aku memeluk lutut dipayungi bayang
pohon semarak api berbunga, sedang
gugur berawangan, dibawa angin bersilir-silir
aku hamparkan kecelaruan fikir
di kali, tempat sering kuberkarya.

Kadang-kadang mereka datang
melihat-lihat apa aku coretkan
di atas permukaan, direnung hairan
seorang dua menangkap bait
ada yang tercengut, termangau
mereka pergi dan datang lagi
esok-esok, sampai petang lalu pulang.

Guru telah lama pergi
usai dapati aku boleh berdiri,
menggalahkan awan-awan dan mentari
melalui puisi-puisi
pesan guru:
"Hey si ikan... sudah masanya kau berenang di laut gelora.
Nikmatilah badai.
Kelak, bila sudah terdampar di gigi air kau pasti rindu."


Di sini
aku tiada apa lagi dicari
hanya kerana ia pandang pertama kucinta
aku terus di sini
menukil isi hati atas permukaan air
di kali
di bawah pohon semarak api
bersama bayang-bayang yang memayungi.

Tabir Khaizuran
Jengka, Pahang
p/s: sedih berpisah dengan seorang guru yg sedia mengkritik setiap masa puisiku.
terima kasih guru!

Read More

Halal bilhalal

Tabir Khaizuran 09.23 |

Read More

Terima Kasih...

Tabir Khaizuran 21.26 |


Berita Mingguan, 29 Ogos 2010

Terima kasih klaki atas usaha untuk hntr gmbr ni kat saya. Saya masih lagi belajar lagi menulis. Harap ada yang sudi tunjuk ajar ya. Janganlah segan-segan memberi komen di ruangan yang tersedia. Saya akui saya tidaklah terkenal, dan tidak pernah pun impikan perkara itu. Kerana niat saya hanya untuk menulis dan belajar dan belajar dan belajar.
Read More

Senandung Baulu

Tabir Khaizuran 02.06 |

Read More

S.F

Tabir Khaizuran 02.32 |

Read More

Menuju Utopia

Tabir Khaizuran 00.53 |

Read More

Mari bersatu

Tabir Khaizuran 10.19 |

Read More

Pesanan Buat Adikku

Tabir Khaizuran 21.58 |

Read More

Menjelang Subuh Hari

Tabir Khaizuran 20.51 |

Read More

Hadiah Buat Pencipta

Tabir Khaizuran 23.12 |

Read More

PertarunganTersembunyi

Tabir Khaizuran 19.07 |

Aku dan engkau keletihan, sebulan
setiap saat kita bertarung
kauenggan mengalah walau acapkali kuserang
kaunekad mengasak bersenjatakan hasutan
walau dibelenggu segala kerabat syaitan
engkau kekal sebagai penghuni badan.

Kuhunus pedang kalimah suci
agar kau terhapus terus, sejurus
kausembunyi sebalik rusuk kiri.
Nafsu
sungguh, engkau musuh tersembunyi!
Tak akan tunduk imanku padamu sekali-kali.
Read More

Muhasabah

Tabir Khaizuran 03.31 |

Ketika aku melangkah tua mengekori

kupaling ke belakang

hanya kelihatan dosa

selama hidup berdekad-dekad

masa sepiku bertemankan maksiat.

Mujur aku terfikir sesaat

Allah tersangat dekat

setiap bisikan hati Dia mendengar

setiap terlintas di akal Dia mengetahui

setiap tingkah perbuatan Dia melihat.

Aku sekadar menunduk malu

pada bumi yang diciptaNya

diam-diam mengalir perlahan air mata

semoga Allah terima taubatku...

Read More

Sambut tanganku bidadari(.feat Akma n Choco)

Tabir Khaizuran 03.26 |

Aku di rumah sakit asmara
doktor hati memberitakan:
bahawa aku harus dibedah kerana angau!
Lalu aku dibius rindu
lama-lama penglihatanku terus ke langit khayalan
panaroma bidadari terbang ke sana sini
memukau jiwa menggetar naluri.

Wahai bidadari
sungguh kesumaku telah ditawanimu
dek lenggok mulus jemari sepuluh
sungguh pancainderaku telah membeku
dek matamu yang sesejuk salju
Aduh,hatiku divirus cinta seluruh
terus menerus menular setiap rongga
menerokai zarah-zarah medulla
hingga ingatanku hilang melayang.

Bidadari syurga indah
puas kutanggung keperitan resah tidak sudah
bahana bisa senyum manis
ingin sekali kusambut luhur hulur tanganmu
biar lancar pembuluh darah
dan nafasku yang tersisa menanti
lambaianmu memanggilku pergi.

Sedar-sedar aku akan titis-titis pilumu
kauungkap peri semalam, tanganku kaugenggam
kemas hingga rapat ke nurani
kala waktu bergumam, kau hangatkan pipiku
kala nafasku kian tenggelam, kau lafaz kalam Allah
Lailahaillah Muhamadurasullah
dan saat ini aku pasti
cinta Allah melebihi segala.

Selamat tinggal sayang , Selamat tinggal dunia
Sambut tanganku bidadari.

Kolaborasi

rangkap 1 dan akhir:Paktam

rangkap ke 2: Akma dan

rangkap ke 3: Choco.

Editor: Tabir Khaizuran
Read More

Bersyukurlah

Tabir Khaizuran 01.53 |

Pagi setelah membuka mata

sedang nafas masih terhela

lafazkanlah Alhamdullilah

tapi alangkah kita lupa tatkala mengesat tahi mata

di bibir hanya meniti seranah.



Tengahari keluar segala sumpah

dek sekelumit cuma panas

panas Neraka tidak pernah dirasa

leka mengejar dunia yang dilaknatNya

Ah, perut turut penuh terisi

pelbagai rencah resepi terkini

gendut-gendut senang hati

lupa kita pada Pemberi rezeki.


Menikmati matahari terbenam, asyik

namun berfikir tidak walau sedetik

dibiar waktu terus berlalu

tanpa bersalah dan ragu

sedikit pujian pada Allah tidak berlaku

Ah, lupa kita siapa Pencipta.


Melayani malam yang tiada sudahnya

dibuai hasutan syaitan-syaitan

tunggang terbalik agama dilakukan

Ah, iman usah dipersoalkan

akhlak terbiar bertaburan

kelak datang bala baru menadah tangan.

190027072010

Tabir Khaizuran

Jengka, Pahang

Bersyukurlah pada Allah...

Read More

Kelmarin ajar aku

Tabir Khaizuran 05.40 |

Kelmarin ajar aku
lerai rantai gusar
yakinkan diri ini
orak langkah bererti
kunci matlamat tuju.

Berpaling pada kelmarin
pugar aku sedar
berani harus tegar
lengah harus tegah
usaha harus berkuat.

Kaki bukan perdu
langkahkan ia padu
senyap dan bisu
kelmarin ajar aku.
Read More

Cinta ini sebuah kisah di mana rindu itu tiada penghujungnya

Tabir Khaizuran 11.37 |

Mungkinkah di hujung rindu ada nokhtah
kala pertengahan ada aku
seawal kau berbicara waktu
menyeru
cinta ini sebuah kisah.

Bening dinihari menyimpul hati
kita dua menyiul rasa
seiring menerusi jalan cerita
cinta ini sebuah kisah.

Tiada tercari jawapan di kalbu
belum hujung rindu kita temu
sekalipun kita cuba wacana
masih gagal mukadimah dikemuka
akur kita
cinta ini sebuah kisah
penghujungnya ketentuan Allah Maha Esa.


03062010 0200am
Tabir Khaizuran
USM Nibong Tebal
~Mungkinkah~
dedicate to Baby..kucing kesygnku..
Read More

Biar hati ini menulis

Tabir Khaizuran 02.28 |

Sejak peristiwa konvoi bantuan ke Gaza diserang. Bertubi-tubi telefon saya diterjah oleh sms-sms sahabat agar dipanjangkan kepada sahabat lain dan panjatkan doa kepada mangsa. Alhamdulillah, keberanian mereka untuk ke sana adalah satu contoh yang baik. Secara tak langsung juga, memperlihatkan muka sebenar Israel di balik topeng yang dipakainya.


Biar hati ini menulis

Kian lama meredam
sakit mulai membukit
nanah.

Rasa ini terperam
saban siang saban malam
benci.

Tangis tak pernah diam
membisik hati tuk menulis
dendam
biar terbaca matamu
sampai akhirnya terpejam.


02062010 1700
USM Nibong tebal.
p/s boikot israel!!

Read More

Gerimis Hati (buat Mak)

Tabir Khaizuran 00.48 |




Mak

tidak kupunya rima berirama mahupun diksi

apatah lagi metafora dan personifikasi

gagal kusulami jadi serangkai puisi, Mak

izinkan sekali ini

kutulis tangis pada gerimis hati

maaf Mak, noktahnya tiada

kerana piluku di akhir titis-titis.


Sekali lagi benarkan kulukis

sekali ini

kenangan manis pada gerimis hati

Mak,

tidak sempurna rasanya

andai gerimis hati ini tidak diwarnai

ini pelangi kasih sebagai pelengkapnya,

"kan itu warna kesukaanmu, jua kesukaanku?"

"iya kan, Mak?"


Mak

Kuharap ini bukan terakhir kali

muncul Mak di ruang impi

kerana saat ini senduku telah lelah

maka akan kubiarkan angin masa

menerbangkan gerimis hati ini pergi

dengan iringan Al-Fatihah...


14052010

Tabir Khaizuran

Gombak, Selangor.

~Kurindu wajahmu...Mak~~

Read More

Gelas Ilham dan Air Puisi

Tabir Khaizuran 02.07 |

Gelas ilhamku kosong
sedikit terhias pintalan aksara
solo di atas meja studi
tergerak aku ingin eksploitasi.

Aku isikan air puisi
jernih, dingin dan suci
masih kosong
tidak puas untuk dinikmati.

Aku tambahkan gula bahasa
sedikit tidak lebih
manis-manis buah kata orang tua
masih
masih belum boleh dinikmati.

Aku sabar
membancuh perisa pengajaran
sekali, dua kali, tiga kali.
Baik, sudah siap untuk adik.
Read More

Bidik Sepi

Tabir Khaizuran 01.54 |

Saat rintik hujan menyinggah daun

bagai suara seruling beralun

segemersik angin membisik:

"mendung, kuinginkan pelangi

perungkai bidik-bidik sepi

seusai renyai terhenti..."

Read More

Eksperimentasi Nusa

Tabir Khaizuran 22.57 |

Sebuah erti di celah diksi
kita masih tercari-cari
di terbalikkan dunia.

Belit-belit lidah
kata-kata indah
kita tertipu
di hadapan cermin mewah.

Eksperimentasi nusa
negatif saja terjelma di minda
sejuta sebab kita alas
karat-karat penyakit M.A.L.A.S.

Terjemahlah sengsara
jadi penebat yang hebat
walau berdekad walau berabad
Malaysia di bibir jagat.
Read More

Gadis Kebaya Biru

Tabir Khaizuran 05.21 |

pertama kali kujumpa dia
berdegup-degup jantungku saja
mata bertentang mata
jiwaku terpersona

kuketepi malu
kutanya namamu
kau sekadar tersipu
pergi berlalu

di sini aku
kan terus menunggu
sampai nanti
kau sebut namamu

di setiap waktu
kunanti bayangmu
gadis kebaya biru
pencuri hatiku


di sudut hidupku
senyummu menghambatku
dengan tali rindu..
oh gadis kebaya biru


andai kutahu namamu
kan kuukir dihatiku
kekal selamanya...

rap part:
oh..mana mungkin kulupakan
senyummu yg menawan
hatiku yg rawan tertawan..

hadirmu bagai pelangi
menyinari hati
duniaku kini berseri-seri..


usah kau malu menyebut namamu
kukan menunggu sambai bila-bila..

p/s:khas buat rizzy..jgn lupa jemput aku wey..kad mana?xsmpi lg ni..
sumber gambar: http://www.seripengantin.com/v2/wp-content/uploads/2009/06/kebaya.jpg

Read More

Malam Penyeri Hati Srikandi

Tabir Khaizuran 21.22 |

:Malam yang tidak seperti malam lain...

Di puncak Bukit Cinta

mawar sekuntum kembang harum

sayang kian kekar meranum

di tangan penyeri hati srikandi.


Bintang-bintang menyipu malu

bulan turut menyembunyi pilu

di balik awan hitam dan kelabu

tatkala melihat kelopak dara gugur satu persatu.


Malam ini penyeri hati srikandi menanam benih

tanpa hirau perlu ada batas

sekadar cukup siram sepancut kasih

pada lubang dikorek bersih.


Peluh memercik,lelah

bukan kerana takut Allah

tapi kepuasan menurut syaitan

membuai nafsu yang tak berkesudahan...


:Malam yang tidak ada keistimewaannya...


1500 090210

Tabir Khaizuran

UPM Serdang

Read More

RasU(p)ah

Tabir Khaizuran 21.53 |

Waktu kecil-kecil

abah bagi 20 sen

"Jangan bagitau abah pergi dating"

aku tak angguk, tak geleng

cuma senyum sumbing macam kambing.


Waktu sekolah menengah

jadi pengawas memang megah

diri kat pintu pagar tahan budak

"Nah Rm2, jangan tulis nama aku plak"

aku tak jadi tulis nama dia dalam buku merah.


Sekarang dah besar

jadi polis adalah cita-cita dari sekolah

jaga sempadan sudah amanah

"Ini hah. Rm 5000, diam-diam sudah"

Sekarang aku sudah sedar, duit bukan segala-galanya..

"Apek kita sambung cerita kat mahkamah!"

Read More

Rancangan Tipu Lalat

Tabir Khaizuran 09.07 |

Dengar-dengar ini cerita
ini cerita bukan reka-reka
kisah lalat di Sungai Tua
habis kena tipu belaka.

Ini cara ia bermula:

Hei, lalat-lalat mahu jadi kaya raya?
Boleh wang berjuta-juta!
Haha... tetapi ada syaratnya
Atas tanah kalian aku mahu bikin istana
Sudi jual, 1 hektar 1 juta harganya!

Lalat-lalat laju-laju angguk kepala,
Tak banyak tanya, suku juta di depan mata
angkat kaki terus tinggalkan rumah pusaka.

Tamatlah riwayat rumah pusaka
dilenyek gergasi kuning gagah perkasa.

Mahligai istana menyergam pula
lalat-lalat terpinga-pinga
suku juta dah habis dipoya-poya
baki wang pula tak kunjung tiba
rumah dah tak ada, menangis pun dah tak guna.

Atas sofa aku ketawa berjela-jela
Rancangan tipu lalat dah berjaya.
Read More

Saat turun hujan

Tabir Khaizuran 11.34 |

Di pentas awan hitam likat
guntur garau mengaum
sejurus kemilau si kilat
memperlihat air rahmat
mencurahkan manfaat.

Di suatu ceruk dapur
si tua menadah syukur
tanaman-tanaman pasti subur
seminggu,
ditahan sudah kebulur
esok tentu,
masak lemak cili api cendawan kukur.

Di sebuah banglo mewah
sekeping hati disalut resah
segala-segalanya diatur sudah:
main golf, tengok wayang, bersama si dia
"Ah, asyik-asyik hujan. Nak keluar pun susah!"
rengus terus merengus, si muda.


Tabir khaizuran
UPM Serdang
"Ya allah,turunkanlah hujan yang bermanfaat"
Read More

Edan Kesmaran

Tabir Khaizuran 13.07 |




Dari sebuah perkenalan
rindu bertunas segan-segan
tiada daya kanda menahan
detak hati edan kesmaran.

Wahai gerangan si cantik rupawan
di telinga terselit bunga cempaka
harumnya bukan kepalang
bisa buat jiwa tenang
bisa buat resah mengundang.

Wahai dinda, Putri Nur Qistina
beradu tidaklah kanda
dek bayang wajahmu yang menjelma
kala purnama menyua muka...
Read More

Gerimis salju

Tabir Khaizuran 13.26 |




:Buat yang masih ragu



Dalam gerimis salju
yang dingin sedingin cintamu
aku termanggu
dungu
menunggu terus menunggu.

Salju turun menitis-nitis
setitik demi setitik
dari pohon tirus
kontang, sepi
di kalbuku menjentik-jentik.

Aku masih menanti
terus menanti
kalimah keramat, dari
bibir mungilmu
namun tetap kau membisu
membiarkan pilu
di hatiku terus membeku.

"Masihkah kau ragu?"
Kau menunduk sayu
tiada jawapan
hanya tangisan
aku pun menderapkan sepatu
meninggalkanmu di bangku kayu.


:Kunci hatimu bukan padaku
Maaf buat sekian kali
Andai hadirku ini
mengundang luka pada sanubari...

0400am 090110
Tabir Khaizuran
Upm Serdang
:Penat Menunggu...

Read More

Layang-layang kertas

Tabir Khaizuran 05.36 |


Cintaku...
ibarat layang-layang kertas
sedang enak terbang bebas
jangan sesekali kau terlepas
tali janji yang kau pegang kemas.

Dan aku...
adalah angin berpuput lembut
tiada daya mengawal jiwa
menyerah segala kepada Allah.

Kaulah si gadis itu...
riang melihat layang-layang kertas
merentas langit luas.


Read More

Filharmonik Cinta

Tabir Khaizuran 02.04 |

Sentuhan ini
jujur dari lubuk hati
khas buat si gadis suci.

Filharmonik cinta
lahir dari jiwa
pencari definisi cinta.

Iramanya menyelinap kalbu
persis angin menyapa pipi
lembut
namun tidak kelihatan
hingga panah asyik
menembusi dada
baru kutahu rasa cinta.
Read More