Laman

Azam Kita

Tabir Khaizuran 20.06 | , ,

Tahun akan bertukar rupa
tapi wajah jiwa kita tetap sama
mungkin ada kedut segaris:
sebuah tanda memori pahit menggilis.

Kita yang tak punya masa
masihkah lagi membelai nurani?
Sedang anak bangsa
terbiar telanjang berlari.

Pada tahun rupa nan berbeda
kita usir rasa iseng-iseng
kita riasi anak dengan puisi cahaya
biar dadanya terang beremba.

1130 27122012
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Kepada Pecinta

Tabir Khaizuran 20.00 | ,

Kepada Pecinta:
lain taman lain bunganya
lain bunga lain baunya

0943 27122012
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Sesumpah

Tabir Khaizuran 20.29 | , , ,

Sesumpah
hati hitam pura-pura
terlupa pemotret cerita
di sebelahnya.


1229 26122012
Tabir Khaizuran
DCA Subang

Read More

Si Tukang Mimpi

Tabir Khaizuran 10.47 | ,


Mereka itu mimpinya tinggi sekali
terbang di petala langit ke tujuh.

Sayang sayap-sayapnya patah seluruh
sedang keyakinan juga meluruh.

Ada gusar menjalar di fikiran mereka
ada galau menyesah di pundak mereka

Pada detik-detik pengakhiran
tanah realiti dipijak segan.

Mereka itu Si Tukang Mimpi
hidup tetapi mati.

0246 26122012
Tabir Khaizuran
DCA Subang






Read More

Rajuk

Tabir Khaizuran 06.34 | , , ,

Akan kuhilang di balik awanan
tiada titisan air mata kuturunkan
kerna di sini bersemadi aku
tinggallah kamu sendirian di bumi
berteman duka, lara dan pilu
wahai hati,
aku tak perlukanmu.

2220 25122012
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Pertemuan

Tabir Khaizuran 21.32 | , ,

Kita ibarat dua sungai berlainan di Dasu
aku biru dan engkau kelabu, sedarlah
walau bertemu tak akan berpadu
walau tuju kita satu, inilah ketetapan Ilah
jelas pada turunnya dua wahyu.

Usah sempadan faham dicari
kiamat hadir tetap kita begini:
aku dengan caraku, engkau dengan gayamu
mengalir deras selagi hidup si bumi
tetap berpegang pada paksi.

Kita  ini digelar pertemuan
tak bisa saling bersalaman.

0131 25122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Dingin malam

Tabir Khaizuran 21.30 | ,

Dingin malam

Dengan pandangan sunyi minta ditiduri
ah, ranjang kubiarkan engkau hampa!

2342 24122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Dia bernama Madah dan aku adalah Pujangga

Tabir Khaizuran 21.33 | , , ,

Dialah kekasih
kerna hadirnya mereda lara hati
kuberikan dia satu nyawa
agar sepi lari menjauh pergi.

Kupakaikan dia sutera aliterasi
tiap pancaindera pasti terpukau kagum
dan dia kini berdiri di depanku
bersama indah seulas senyum.

Dia bernama Madah
dan aku adalah Pujangga.

0113 24122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Kita Peniup serunai

Tabir Khaizuran 21.32 | ,

Ilham berbisik-bisik mencerna irama
telinga seakan perakam suara
menangkap setiap frekuensi alunan
dan hati pun memulakan tarian.

Jemari ligat menutupi liang
capo ringkik merdu membalas
tiap tiupan tersirat peristiwa
di bawa fikiran melayang.

Kitalah peniup serunai
sedang audien tidur lena.

1738 23122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong.
Read More

Gurun Rindu

Tabir Khaizuran 21.32 | , , ,

Berikan aku selautan kata madah
biar gurun rindu ini basah.

1200 21122012
Tabir Khaizuran
KLIA Main Tower
Read More

Medan Tatitipta

Tabir Khaizuran 21.31 | ,

Tiap awan-awan gelap
adalah saksi tuli medan Tatitipta
laskar diksi siaga bahasa
genderang ilham sabar dinanti.

Tiba masa berhamparanlah mahakarya
ada berdarah, ada berluka
dan ada keroncong rindu sayang
latar musikalisasi puisi hati lara.

Medan Tatitipta
analogi sunyi dunia perdana.

1958 21122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Rindu Bertamu

Tabir Khaizuran 21.30 | , ,

Pada sela masa rasa bergejolak
seakan-akan hati ingin terkopak
kerana hangatnya debaran membuak.

Pada saat rindu bertamu
dan kejauhan adalah pemisah cinta
lembaran kelmarin kuselak semula
indah saja tertatap di minda.

Adakala sendirian daku tergelak
terkenang suatu episod ria
bunga loceng kauhias di telingaku
lucunya, aku seorang botak.

Rindu bertamu
kapan-kapan pergi, usahlah
hingga aku dan dia bertemu
menuai kembali kasih lama.

1107 11122012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Wudhuk pengubat amarah

Tabir Khaizuran 21.29 | , ,

Kesempurnaan wudhuk merawat amarah
hati yang suci penjaganya adalah Allah.


Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Mencuci Luka

Tabir Khaizuran 21.28 | , ,


Mencuci luka dengan airmata tidak sesekali menghilangkan parut di hati.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Di akhir tasyahud

Tabir Khaizuran 21.27 | ,

Di akhir tasyahud ini
tertitis jua airmata kepiluan
terkenang kerdil lagi hina diri
di hadapan-Mu, Yang Maha Suci.

Tuhan,
telah kurasai sempitnya dihimpit
kosong pabila kiblat terpesong
aku manusia Engkau cipta mulia
dikerling insan bak sarap di parit.

Apalah daya, andai Raja mengkehendaki
hidayah dilimpahkan pada diingini
sementelah waktu masih berbaki
kupohon Islam tetaplah di hati
sampai nanti nafas terhenti.

Tabir Khaizuran
0957 10122012
DCA Subang
:Ampunilah hamba, Ya Allah.Saat terlena dek buaian dunia hingga beranduh baru tersedar Engkau senantiasa ada.
Read More

Melankolik metafora berbayang.

Tabir Khaizuran 21.27 | ,

Dulu hari guru pernah berkata,
"Bila terpancar suria, engkau lukis suria.
Bila hadir bintang, engkau tunjuk bintang.
Bila saat rembulan datang,
engkau persis lembu berdengkuran!
Di mana melankolik metafora berbayangmu?"


Bolak-balik aku di lingkungan bahasa
berhenti tercengut minda bawah sedar
medula oblongata terasa sengal.
Apakah ada simile mengetip makna?


0252 05122012
Tabir Khaizuran
SDMC Subang Jaya
Read More

Sesaat selepas hujan

Tabir Khaizuran 21.26 | , , ,

Waktu ini
pelangi menyilang di awan
gerimis baharu berhenti menari
dari ruang petak jendela kaca
kita sama menyaksi kebijaksanaan Ilahi
di celah-celah kesibukan kota
masih ada indah untuk dinikmati.

Kurapatkan kelopak mata seketika
mendalami hangat renggaman tanganmu
terasa seperti ada kasih mengalir,
membajai hati milik seorang suami
dan dari itu berbunga cinta
mekar dengan redha Rabbul Izzati.

0002 05122012
Tabir Khaizuran
SDMC Subang Jaya
: Cinta indah bila hati suci.
Read More

Marhaban ya Ulfah Nawwarah

Tabir Khaizuran 21.24 | ,

Telah tercatat di Lauh Mahfuz
sebuah perjalanan dari sorga turun ke bumi
setinggi-tinggi tawaqal kausandar pada Ilahi
sebelum nafas pertama kauhembus.

Marhaban
marhaban ya Ulfah Nawwarah
salamun an-nisa
mari nikmati kalimah-kalimah suci
kutaranum lembut sebagai halwa telinga
tuk kaulupakan sejeda kebil-kebil dunia baru
dan sepotong doa dari Abimu:-

"Allahummal hamhuttakwil wa a'limhulhikmah,
Allahumma barik fihi wanshur minhu".
Amin ya Rabbal Alamin.


0208 041212
Tabir Khaizuran
SDMC Subang Jaya
Read More

Kehadiran

Tabir Khaizuran 21.24 | , ,

Menanti sesuatu digelar "Kehadiran"
mengundang sejuta debar
bagaikan deburan memecah tenangnya lautan
bagi manusia seperti aku
singkat waktu seringkali mengulit fikiran.

"Abi, ini bernama anugerah",
bisikan bakal umi seperti dingin salji.
Membeku lengungan impian semalam-
melihat sinar terbit dari rahim
aku istilahkan sebagai "Kehadiran".

0131 021212
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong.
: Alhamdulillah di atas segala anugerah yang Kau berikan.
Read More

Kita yang terlupa tentang janji tetapi menuntut janji bila mata terlihat yang indah kerana kita sering lupa.

Tabir Khaizuran 21.23 | , ,

Yang terindah tak akan mampu terakam dek mata
kerana ianya milik sanubari bertatu pujian pada Ilahi.
Kadang mata menipu fikiran yang dikendalikan nafsu

kadang nafsu pula membohongi mata, meracuni fikiran
dan perasuk mulai berseronok.

Lalu kita di sini, masihkah memateri janji?
Atau telah luput tentang satu cerita
tercatit rapi pada helaian kertas kanji
berkepuk di atas gobok mungkin,
ya, kita lupa di mana letaknya.
Ingatlah si perasuk tak lupakan janjinya!

2342 28112012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Doa buat sebuah pemergian

Tabir Khaizuran 21.22 | ,

Seusai saja gerimis
pada kelam lewat malam
dalam sembunyi suara tangis
masih terkias jua senyum
waima perit memalit hati
tapi redha tetap mengiringi
pemergian bertemu Yang Abadi.

Tiada seharum bau Firdausi
tiada seindah panorama Raudhah
moga di situlah tempatnya kembali
moga kembara ditemani kekasih Allah.

0232 28112012
Tabir Khaizuran
KG Tengah Puchong
Read More

Bicara sebuah ceritera

Tabir Khaizuran 21.20 | , , ,

Bicara sebuah ceritera

Suatu tika dulu
kau pernah bicara:
ombak ini akan berhenti
pada setiap bulan hamil
adalah sebuah ceritera.

Ya, percaya benar aku
hingga kini diri menanti
walau kulit diulit dingin
hati terus setia pada bicaramu.

1356 25112012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong.
Read More

Di sebalik debu-debu II

Tabir Khaizuran 21.19 | ,

Pinjamkan daku sesaat, saudara
tak akan rugi dek sepotong doa:-
"hancurkan musuh-musuh Islam, ya Allah
porak-perandakan jiwa raga mereka!"

Di sebalik debu-debu
ada sisa nafas menyelimut pilu.

2247 19112012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Read More

Di sebalik debu-debu I

Tabir Khaizuran 21.18 | ,

Di sebalik debu-debu
ada esakan yang tersembunyinya senyum
terkuntum pada ganjaran nikmat akhirat.

2017 19112012
Tabir Khaizuran
KG Tengah Puchong.
Read More

Bila hati seindah taman idaman II

Tabir Khaizuran 21.18 | , ,

Setitis embun di pagi hari nan indah
cukup membuat hati insani dingin
alangkah mulia peribadi muslim sejati
meringan langkah ke rumah Allah.

Alhamdulillah di atas segala anugerah
dari-Mu Allah, ya Rahim.


19750 17112012
Tabir Khaizuran
KG Tengah Puchong.
Read More

Bila hati seindah taman I

Tabir Khaizuran 21.16 | ,

Seindah taman idaman di atas awan
seindah itulah hati yang memuji Tuhan
saat ditimpa hujan ujian
saat berteduh di bawah Ar-Rahman.

0900 09112012
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Mendakap pilu

Tabir Khaizuran 21.15 | ,

Bumi memuntahkan isi
isi memakan nurani
nurani dibelai mimpi
mimpi di hujung masa
masa mual dek rencana
rencana manusia tiga suku
suku mendakap pilu.

Tabir Khaizuran
29102012 1032
DCA Subang
Read More

Karena langkahnya

Tabir Khaizuran 21.14 | ,

Orak langkahnya laksana pendekar Melayu
memasak bumi di hujung jari-jemari
kadang porak kala menafsir seteru
darah tertumpah cuba disedut kembali.

2133 10162012
Tabir Khaizuran
Tmn Sri Kenari, Kajang
Read More

Pada akhir jawaban, kukhabarkan dalam diam

Tabir Khaizuran 21.13 | , , ,

Kemelutku adalah batu-batu yang bersyair
pada tengkujuh waktu siang merembang
dan susila nan sunyi kusembunyikan
pada nanah-nanah bahasa jiwa.

Kukhabarkan dalam diam.

1118 15102012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Sekeping warkah terbiar

Tabir Khaizuran 21.12 | , ,

Assalamualaikum, saudara-saudari sekalian alam.

Kita sering melihat sampah. Tapi yang hanya tahu menghargai akan mengutip, membersihkan dan memanfaatkan kepada kehidupan. Usahlah bising kerana sampah merata-rata sedang kita lupa kitalah sebenarnya sampah.

Ah, kita marah digelar sampah. Tapi hakikatnya kitalah penyebab bau busuk itu. Kerana sudah sebati kita lupa kitalah sebenarnya sampah. Dan, suatu hari pasti akan terlupus dan hapus.

Yang benar,
Warkah terbiar.
Read More

Puisku bukan prosa pembakar jiwa

Tabir Khaizuran 21.01 | , ,

Secicip kopi, seribu cerita
dan kepul-kepul asap Suriya.

"... ini bukan puisi!"

Ada keluhan pada erti yang tersembunyi
ada rengusan pada diksi yang berlari.

"... ini pembakar jiwa!"

Tinggal lingkungan sisa kopi
dan basa-basi masih berbaki.

"Mamak kira!"

04102012 1052
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Kerana hadirku bukan selalu

Tabir Khaizuran 20.59 | , ,

Hadirku bukan tuk mengemis kata
bukan juga tuk menagih mutiara prosa
hadirku berdagang isi hati

kalau-kalau ada pembeli yang sudi
kupohon jangan robohkan geraiku
kerana hadirku bukan selalu.

Tabir Khaizuran.
Kg Tengah Puchong
2012

Read More

Segenggam beras, segumpal harapan

Tabir Khaizuran 20.57 | ,

Kocakan di kolam matamu
memercik ke wajah nuraniku
perlahan gugur duri-duri pada lingkaran emosi-
hati ini, ada gurisan yang tertinggal.

Ikal rambutmu kusisir lembut agar luruh rasa
bulur yang mencengkam tembolokmu
sambil kudendangkan
qasidah indah sebagai peluntur syahdu
lenalah, biarkan mimpi merenggangkan cengkaman.


Anakku
akan sore ini ayah pulang lagi
bersama segenggam beras dan segumpal harapan
untuk esok, untuk dirimu.


03102012 1856

Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Bicara Nurani VII

Tabir Khaizuran 20.56 | , ,

Yang terbuku tak semestinya terbuka
yang terbuka tak semestinya terbuku
yang terbuku mungkin akan terbaca

yang terbuka sejelasnya dibaca
kepada pembaca simpanlah
kadang rahsia perlu menjadi rahsia...

1050 08132012
Tabir Khaizuran
Read More

Kolam kecil

Tabir Khaizuran 20.55 | ,

KOLAM KECIL

Ular, itik, ayam, kambing, kerbau dan lembu
semuanya berebut akan kolam kecil.

Si ular mematuk bisa
Si itik menyudu-nyudu
Si ayam melihat saja
Kerbau dan lembu bersondol-sondolan
Kambing pula dihitamkan.
Si ikan penghuni asal
menjenguk kepala sekali-sekala.

Kolam kecil dulu indah
tumbuh-tumbuhan juga mewah
angkara telagah sesama warga
kolam kecil kini punah.

2345 09112012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong.
Read More

Bicara Nurani VI

Tabir Khaizuran 20.55 | , , , ,

Ya Rauf, Ya Wadud
semakin aku mengenali-Mu, rindu seakan tiada bertebing lagi
Bagaimana mampuku tahan gejolak yang mendesak jiwa?

Tabir Khaizuran
Dca Subang
Read More

Bicara Nurani V

Tabir Khaizuran 20.54 | , , , ,

Puisi-Mu tiada tandingan
bisa membuat hati berputar rasa.
Engkaulah Yang Maha Bijaksana
pada-Mu kusandarkan asa.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Bicara Nurani IV

Tabir Khaizuran 20.53 | , , , ,

Terbelah sunyi dinihari dek senduku
terpancar taubat meniti kalam-Mu
kupinta sekelumit dari rahmat-Mu
ampunilah dosa-dosaku.

1140 09092012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Bicara Nurani III

Tabir Khaizuran 20.53 | , , , ,

Sepanjang keberadaanku
senantiasa tenang berdamping di hati
kalaulah bukan kerana dunia
pasti hingga bersemadi aku di sini
di rumah-Mu,
ya Muqallib Al Qulub, Thabbit Qulubana 'ala Dinik...

1040 09082012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Bicara Nurani I

Tabir Khaizuran 20.52 | , , , ,

Gemersik suara muazin di udara
menuntun hati insani ke rumah Allah.
Dunia tetap memberatkan langkah
kupohon kekuatan-Mu Al-Jabbar.

1436 09082012
Tabir Khaizuran
Kg Tengah B, Puchong
Read More

Untuk esok dan selama-lamanya

Tabir Khaizuran 20.51 | , , , ,

Dan bila esok
tika fajar siddiq menyinsing
kanku bisikan lagi kata-kata puji
pada Kau yang tidak pernah lelah.

Selama-lamanya
hingga aku ketemu
Engkau yang tidak memungkiri janji
tiada tuhan melainkan Engkau.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong

2012
Read More

Allahu Rabbi

Tabir Khaizuran 20.50 | , , , ,


Kupohon mahabah-Mu biarpun setitis
agar bisa kujadikan penghidup dian hati
pada gelap-gelap dosaku...

09052012
Tabir Khaizuran
Kg melayu subang
Read More

Secebis rasa

Tabir Khaizuran 20.49 | , , , ,

Secebis rasa dari helaan nafas
adalah syukur dari sekelumit kurniaanNya 
segala puji kepada pemilik nyawaku.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Merdeka

Tabir Khaizuran 20.49 | ,

Merdekanya fikiran?
Tanyalah roh yang membawa jasad:
Merdekanya fikiran apabila akal berfikir tidak lagi sekadar berpandukan logik tetapi berpandukan al-quran dan sunnah.

Malah, setiap kata yg terbutir dari mulut adalah berpandukan akal yang tidak terpengaruh dengan nafsu.
Dan, jemari-jemari sentiasa menghasilkan mutiara-mutiara hikmah.
Hadirnya diri memberi seribu makna pada insan lain.

Merdekanya diri adalah sebuah kemenangan kepada fikiran daripada jajahan nafsu.

Merdekanya negara?
Tanyalah rakyatnya.

~tabir khaizuran~
31/08/2012
Puchong
Read More

Gua Budak Rebel

Tabir Khaizuran 20.44 | , ,

I
Ini bukan puisi dari meditasi
ini khayalan mata hati
seorang budak rebel
mak bapaknya suka membebel.

II
Pergi sekolah mak pesan
tengok papan hitam gua naik bosan
belajar Math dalam English gua blur
baik lepas gian dengan member
stor sukan selalu jadi mangsa.

Hari-hari kena rotan
punggung gua dah tak hairan
janji lepas beban
hafal teori bertan-tan.

Malam-malam
kat rumah mak bawa laki
bapak plak taik judi balik pagi
gua lepak dengan member jual burger
main gitar sama-sama ngurat anak dara.

"Kerja rumah sila hantar"
Gua ingat 18mg kandungan tar
Cikgu tanya "Mana?"
Gua selamba jawab "Lupa"

Rambut gua macam Tomok
habis kena renyuk
awek-awek semua tengok
Muka macho gua mana nak sorok?
Takpe cikgu, tayar kete lu gua cocok!

Gua bukan jahat gua rebel
gua tak hisap ganja, gua tak ambil dadah
gua tak kongkek budak sekolah
Suka hati lu nak letak apa label
Ada gua kisah?
Gua kata salah?
Tapi salahkah apa yang gua kata?
Read More

Semakin dekat

Tabir Khaizuran 20.38 | ,

Semakin berat semakin sarat
hati mati mengangkat pukat-
pukat dosa tipu subahat
semakin dekat ia
semakin dekat.

Dalam usik Kau membisik
dunia kian tenat
kejarlah kejar hingga dapat
diingat harus akhirat
di belakang alpa
semakin rapat.

Tuli telinga buta mata
dek harta setempurung cuma
Kau sinis menitis murka
banjaran gunung jadi rata
sekadar tuk sedar ia
isyarat semakin dekat.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Aku pelukis cermin diri

Tabir Khaizuran 20.36 | , ,

Aku bukan siapasiapa
hanya pelukis cermin diri
kau lihat sekilas, beri erti
dari sudut dimensi tidak pasti
lalu keliru memburu
menyempit ruang ideologimu.

Lagi kau meneliti
kali ini dari spektrum terbelah dua
kauraba imejan mencari makna
hampa
di akhir, konklusi kauhampar:
lukisanku cerita bergegar kekar.

Kau puas ketawa bebas
merenungku dari bawah ke atas
bibir kecilmu mengulas kemas
serentak kauhunus pedang puji
mujur kupunya perisai rendah diri.

Aku bukan siapasiapa
hanya pelukis cermin diri.


03002302100
Tabir Khaizuran
UPM Serdang
Read More

Mari kita bersama melangkah

Tabir Khaizuran 20.34 | ,

Mari kita bersama melangkah
saat muazin melaungkan azan
usahlah kita berlengah-lengah
usahlah kita dilalaikan dunia
usahlah kita memberatkan badan
ayuh, menuju rumah Allah.

Wahai muslimin dan muslimat,
mari kita bersama melangkah
memimpin para muhrim
membaja pohon pahala hari ini
di akhir nanti kita nikmati di sana:
di taman penuh hikmah.

Wahai saudaraku, wahai sahabatku
mari kita bersama melangkah
berdoa mencari redhaNya
melinang air mata kerana dosa
moga-moga terjana sebagai cahaya di sana:
di padang hanya Allah berkuasa.

140810 0550
Tabir Khaizuran
Jengka, Pahang.
Read More

Senandung bahulu

Tabir Khaizuran 20.32 | ,

Bahulu kuih kegemaranku
aromanya saja menaikkan nafsu
mujurlah puasa, alahai
kalaulah tidak dah lama kutibai.

Oh, baulu air tangan ibuku
lembut isinya juga gebu
dicucuk lidi dilihat jadi
bukan satu, sepuluh tapi.


Bahulu orang dulu-dulu
dibakar atas dapur kayu
sabut kelapa perlu ada
tempurung kelapa siap segala.


Senandung bahulu
ramai gadis tak tahu
hidangan tradisi zaman berzaman
alahai usah dilupakan.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Rintihan opera

Tabir Khaizuran 20.25 | , ,

Kala bintang enggan berkelip
bulan bercuka wajah
tirai pentas berlabuh perlahan.


Di sebalik topeng berukir gerimis
ada nafas berderu lesu
dan lidah kebas memuji
menelan pahit manisan hidup.


Panggung ini kian sepi
hanya gema angin jadi teman
audien lumat dikunyah teknologi
rintihan opera lena sendiri.


1111 081101
Tabir Khaizuran
Bangi
Read More

Pulanglah

Tabir Khaizuran 20.23 | ,

Kala sore ini
padi-padi membisik tari
gemalainya adalah rindu
pada insan bernama anak.

Dingin keringatku dicumbu angin
kebas kulitku disengat terik mentari
namun
ketar kuhindar, kudrat kuikhtiar
kaki  terus kukuh memaku selut
demi
insan bernama anak.

Lupakah wahai anak
sawah ini tempat dikau sering berlecah
padi-padi layu dihenjarmu
hingga haruan rajuk ke hilir, puyu jauh hati ke hulu?
Membiar aku sekadar
merunduk menelan sendu.

Pulanglah
sementelah tulang belulang ini kian reput
jari-jari tua tidak bisa lagi memaut selut
wahai insan bernama anak
renyuk sawah dan padi
sudah lama hilang dimakan masa
hanya tinggal sisa rindu beraja di dada
menanti kau pulang
menjadi anak desa semula.

Pulanglah, nak.

02032011 1400
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Untuk mereka yang terluka

Tabir Khaizuran 20.22 | , ,

Kumelodikan tangisan hati
setiap jelma suria pagi
agar jiwa siapa bercinta
gegarlah tercari-cari erti.

Kususunkan memori-memori silam
hanya terindah hiasi malam
di titik akhir penantian nanti
moga hadir pemilik mata bersinar rindu

dan kutitiskan kata-kata manis
tiap terik tiap gerimis
pada hati siapa terguris
harap tumbuhlah senyum tawa
dari nanah-nanah luka cinta.

03042011 2000
Tabir Khaizuran
USJ 8
Read More

Dulu putih kini hitam

Tabir Khaizuran 20.21 | , ,

Dulu putih
engkau sanjung dan kasih
asbab suci sinarkan seri
hidup yang pasti temui mati.


Kini engkau pijak putih
hitam engkau junjung bersilih
katamu hitam tak mudah terpengaruh
telah terserap ke dalam roh.


Sebelum pergi
engkau bisik dalam diam
matiku bertemankan hitam.


2115 170511
Tabir Khaizuran
Subang
Read More

Pintu Keluar

Tabir Khaizuran 20.19 | , ,

Bilik
gelap
tiada pintu
lapar, dahaga
bau-bau busuk.
Aku berkata "Inilah hidup"
Kau berdiri tunjuk "pintu keluar".

09122011 1608
Tabir Khaizuran
DCA Subang
Read More

Berhentilah Menangis

Tabir Khaizuran 20.18 | , ,

Sekalipun tangismu di pojok tersorok
esakmu tetap berlagu di hatiku
betapa kaupaling sembunyikan titis-titis di pipi
henjutan bahumu memanggil sayu naruniku.


Kuhadiahkan kanvas ini tuk kaujuangkan
bersama tinta-tintamu
kembalilah kerana cintamu
seni dan puisi ini perlu diislamikan.


Berhentilah menangis
agar bisa setiap prosa menjadi stanza
kerna hadirku tidak selalu
sampai masa mantari bertukar kelabu
harusku kembali ke tanah realitiku.

Tabir Khaizuran
23022012 1110
Subang
Aku:
merindukan sesuatu yang hilang,
tak mungkin terbalas cinta yang tiada.
Read More

Qasidah Taubah

Tabir Khaizuran 20.14 | , ,

Sesungguhnya telah kubiarkan
tali zalim membelit diri
lalu tersungkurlah aku
ke lembah orang rugi
kukira dosa yang melangit tinggi
tapi rahmatmu tak kurang seinci.

Kumerintih serelung waktu
melihat hitam likat awan-awan dosa
bagai ingin menghempap asa
kusujud mengemis keampunanmu
ya Allah, Zat yang Maha Esa.

Terimalah Qasidah Taubahku
kutakut akan azab dan seksamu
tusukkanlah iman seteguh Kaabah
agar hati ini membuak mahabbah
padamu
... Ya Allah.

Dca Subang
29022012
Tabir Khaizuran
Read More

Denai bahasa dan buah perpaduan

Tabir Khaizuran 20.12 | , ,

Ahmad, Ah Meng dan Siva
bersatu hati serta jiwa

melangkah ria

menerokai denai bahasa

dengan tangan kemas tergenggam

buah perpaduan

dipetik tadi di pohon kemakmuran


Ahmad, Ah Meng dan Siva

melepas lelah di tebing sungai pertiwi

di mana anak desa sibuk mencari rezeki

tanpa hirau arus deras teknologi

terus mengalir tanpa henti
          menghayutkan kolek yang rapuh
          melemaskan mereka yang lalai
Ahmad, Ah Meng dan Siva

menebar pandangan menangkap pedoman.


Perjalanan diteruskan lagi
Setelah beberapa lama jalannya
Ahmad, Ah Meng dan Siva
Sampai ke rumah panjang 1Malaysia
yang terpampang papan tanda
“1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”
terikat teguh dengan tali toleransi
penghuninya; peribumi dan bukan peribumi
diami tanpa sekelumit sengketa.

Pada malam hari
Ahmad Ah Meng, Siva dan segala penghuni
berkongsi kemanisan buah perpaduan
berkongsi ceritera keindahan
pengalaman menerokai denai bahasa

yang pasti menggamit jiwa anak bangsa
dalam terang cahaya dian keinsafan
menyedut senyap minyak pahit
peristiwa hitam yang terpalit.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More

Syaitan tak kenal siapa

Tabir Khaizuran 20.01 | ,

Syaitan tak kenal siapa
kaum Adam ataupun Hawa
bisikannya menjadi halwa telinga
menjadikan mereka boneka.

Pada mereka yang alpa
syaitan tak kenal siapa
jeratan yang mengena
mengundang azab dan dosa.

Satu jari ditunding pada mereka
empat jari tunding diri sendiri
masih lagi salah menyalah
syaitan terus bermaharalela.

Syaitan tak kenal siapa
Malaikat masih di sisi kita
Allah memerhati hambaNya
Syurga dan neraka masih menanti penghuninya...

Tabir Khaizuran
UPM Serdang
1800
Read More

Pohon Hidup

Tabir Khaizuran 19.59 | ,

Pohon hidup rendang mesra
berpayung awan raja berdaulat
bertunjangkan adat sebenar adat
berantingkan semangat muafakat
berbuahkan berkat
berdaunkan jiwa-jiwa hemat:
pucuk muda tunduk hormat
pucuk tua ucap selamat.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong

2012
Read More

Pulanglah Yan

Tabir Khaizuran 19.57 | ,

Yan
Sedari kecil kausering kumanja
kuturuti segala kau pinta
senyum, tangis dan tawa
di jiwa ibu adalah cahaya .

Menapak ke remaja
Yan,
kupastikan kau cukup belanja
biar
biar perut kuikat-ikat
asal kau sentiasa afiat
membesar seperti anak lain.

Yan,
Kini kumeniti senja
menyusun kenangan di dinding usia
kapan kau akan pulang Yan?
Kaurawat hati lelaki di Lambok
biar ibumu dilukai sepi terperuk.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
Kapasitor MS: Buletin April 2010
Read More

Anak desa di perdu ceri kampung

Tabir Khaizuran 19.53 | ,

pepohon ceri kampung merendang
                Merbah menyanyi riang,
                Wak-Wak mata terpasang,
                Raja Udang merangka serang

… pacat juga lintah terus berlindung
dalam kumbah selut, telah dijanjikan
simbiosis hidup berkongsi habitat
bersama belut dan lainnya,
… dan anak ikan bermain pada riak air,
perciknya berkilau seakan permata,
saat panah mentari bertemu titisnya
sesempurna aturan dariNya.

Sekumpulan anak-anak desa berkejaran,
berlarian sepanjang sungai; bersenda ria
                yang  gagah berakit ke hulu,
                yang cantik mencuci di hilir.
Seorang anak desa
Di perdu Ceri Kampung tersandar harapnya
resah akan esok  dilontar,
pada sungai jernih mengalir dari hulu berkocak.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012
Read More