Laman

Menanti seri suria pagi

Tabir Khaizuran 07.23 | ,

Rintik-rintik hujan bertamu lagi
di atap zink bersemi melodi
titis menitis satu-satu dari liang kecil
lalu membulat hitam di lantai papan.
Bunyi televisyen mati siaran
dan desir-desir dedaunan
menemani lelaki tua memeluk kesedihan.

Tadi, indah malamnya dinoda
dek khabar dari kota:
bintang-bintang berguguran di pertengahan jalan
destinasi desanya tidak tertuju.
Diberita oleh purnama berbadan dua.

Sementelah hujan berhenti
purnama menyuluh luka hati
si lelaki tua
yang mengharap pedihnya sembuh
pada usap lembut dingin angin cuma
sementara
menanti seri suria pagi
mencambah benih harapan di dada.

20102010 2010
Tabir Khaizuran
Bangi
Read More

Diari untuk Zigot

Tabir Khaizuran 02.25 | ,

I
Air nikmat itu menghanyutkan aku ke sini
sebuah daerah asing bergelar Fallopio
pada musim subur fasa III
melayar memori destinasi terakhir
muara rahim.

II
Aku bukan perisik pun bukan komando
walhal
aku punya visi tetap ngeri
dinding tebal wajib di tembusi
secara klasik nan indah , bertemankan
Beethoven beralun-alun
naluri jadi berani menyingkir mati.

III
Pertarungan sengit tak berdarah
pelumbaan maha hebat palit sejarah
tak terencat kudrat kuperah
biarpun ekor dan kepala terpisah
takhta juara kujulang megah.

IV
Wahai ovum, sayangku, kita bertemu
bersatu dengan restu
demi dia-
sebuah kelahiran: Zigot.

151010
Tabir Khaizuran
Bangi
Read More

Kembali

Tabir Khaizuran 20.42 | ,





Berbakikah langkah
sedang gerbang akhir zaman ternganga
terlihat pepohon fitnah subur
pada bibir-bibir mewah pendusta.

Buah fikir terus membusuk lesu
dek akar akal mati dibelenggu nafsu
dahan-dahan iman olak-alik hukum-hukum Tuhan
sepoi-sepoi bisikan syaitan.

Mata hati terkekeh-kekeh bangga
melihat perspektif mercu-mercu mencecah langit
malang
sungguh kisah kaum Ad tidak berpusar di minda.

Kembalilah
hitung langkah-langkah semalam yang terpalit najis dosa
hitung tabung amal sejak berkumandang azan di telinga
sehingga iqamat dan solat empat takbir.
Nyawa ditangguh usah dipersia
Kembalilah.


051010 1130
Tabir Khaizuran
Bandar Tasik Selatan


Read More