Halaman

Ina

Tabir Khaizuran 16.07 |

VERSI 1

Ina suatu tika dulu kau
menganyang aku.
Telur tembelang kau lempar,
periuk nasi aku kau ludah.
Kau lupa atau buat-buat lupa?

Ina kali ini kau gertak aku
dengan penyapu.
Kau ingat aku debu,
kau ingin sapu.
Kau ingat aku batu, diam membisu.
Kau lupa tapi tidak aku.

Ina aku sedang melatih semut
yang tidak bersungut,
kelak jangan kau merungut digigit semut
dek kata nista yang enggan kau pungut.

VERSI 2

Satu tika dulu sambil menekan perut,
terbahak-bahak ketawa dan berguling ke lantai,
kau ingat lagi Ina?
tembelang pecah ke mukaku,
ludahmu merebus nasiku;
seperiuk semuanya.
Geli!

Dan gertak kau kali ini
dengan penyapu?
Aku bukan debu, bodoh!
Senang saja kau mahu sapu aku.
Aku bukan bodoh gaya kau,
diam aku bukan aku lupa.

Sedarkah kau Ina?
semut-semut ini: aku melatih mereka.
Cacat mereka tapi kuat.
Kau lihat itu, sungutnya: Tiada!
Aku takut dengar teriakmu,
pasti kau merungut: pasti!
Hingga satu saat kau bongkok,
sorok muka belakang tangan,
tetap enggan kutip sampah nistamu
yang bertaburan serata.

(Ingat Ina, kau kena ingat semua ini.)

KREDIT UNTUK DAYYA. (VERSI 2)

0 komentar:

Posting Komentar