Halaman

Warkah buat Aina

Tabir Khaizuran 16.00 |

Kini samudera dan gigi pantai sudah sepi, Aina
pastinya bukan kerana kerap gelora menjelma
atau air laut yang dulunya biru berubah coklat warnanya
tetapi
sepasang tangan yang sudah culas menebar jala
sekeping pundak yang mati berbakti
seperti remis yang tinggal kulit di pesisir.

Aina, ketahuilah olehmu akan aku yang ketandusan buah fikiran
menjemput bulan dan bintang
menyiramkan cahaya cemerlangnya seperti dulu
ke seluruh pelusuk perkampungan kita
gurau senda, tawa ria, dan senyum mesra
di balik samar-samar simbahan sinar tintir
menghirup harum bayu malam dari laut.


Aina, dukacitanya semalam telah pergi
seorang datuk tua yang tiada gantinya di pinggir kampung kita
gagah dan cekal
Pak Mat, si nelayan tua yang tersohor namanya (masihkah kau ingat, Aina?)
bukan adiwira seperti omongan peti hitam elektrik, sedikit pun tidak sama
tapi dialah pejuang yang memerah keringat
menahan panah mentari
menyabung nyawa di tengah lautan
demi sesuap rezeki.

Bagaimanakah kamu di sana, Aina?
pasti di bandarmu melimpah-limpah cahaya
pada pokok-pokok batu yang mencakar langit
dan deru pedati bermotor yang bersusup-sasap
menongkah arus masa
usahlah kau risau, Aina
di sini anak-anak tidak lagi mengira langkah ke sekolah
Joyah dan Jenab?
Mereka sudah membanting tulang di kilang Jepun di Shah Alam
Aku?
Aku masih di sini mencoret seloka untuk warisan anak bangsa.

0 komentar:

Posting Komentar