Halaman

Denai bahasa dan buah perpaduan

Tabir Khaizuran 20.12 | , ,

Ahmad, Ah Meng dan Siva
bersatu hati serta jiwa

melangkah ria

menerokai denai bahasa

dengan tangan kemas tergenggam

buah perpaduan

dipetik tadi di pohon kemakmuran


Ahmad, Ah Meng dan Siva

melepas lelah di tebing sungai pertiwi

di mana anak desa sibuk mencari rezeki

tanpa hirau arus deras teknologi

terus mengalir tanpa henti
          menghayutkan kolek yang rapuh
          melemaskan mereka yang lalai
Ahmad, Ah Meng dan Siva

menebar pandangan menangkap pedoman.


Perjalanan diteruskan lagi
Setelah beberapa lama jalannya
Ahmad, Ah Meng dan Siva
Sampai ke rumah panjang 1Malaysia
yang terpampang papan tanda
“1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara”
terikat teguh dengan tali toleransi
penghuninya; peribumi dan bukan peribumi
diami tanpa sekelumit sengketa.

Pada malam hari
Ahmad Ah Meng, Siva dan segala penghuni
berkongsi kemanisan buah perpaduan
berkongsi ceritera keindahan
pengalaman menerokai denai bahasa

yang pasti menggamit jiwa anak bangsa
dalam terang cahaya dian keinsafan
menyedut senyap minyak pahit
peristiwa hitam yang terpalit.

Tabir Khaizuran
Kg Tengah Puchong
2012

0 komentar:

Posting Komentar